MENELITI satu persatu rak pakaian jenama baharu yang dipamerkan dalam
gedung dan butik tempatan, tergerak dalam hati untuk memiliki koleksi
yang sama.
Melihat rakan-rakan yang lebih dulu memakainya, membuat hati meronta-ronta mahu ikut serta.
Akhirnya, digenggam juga pakaian tersebut tanpa memikirkan wang yang semakin ‘menipis’ dalam simpanan.
“Kadangkala hajat membeli itu disimpan lama terutamanya untuk
memiliki barangan gajet terkini sehingga sanggup berlapar,” ujar Syafil
Syazwan Jeffri, 24, sambil membelek tablet yang mendapat perhatian
golongan muda masa kini.
Gaya hidup di luar kemampuan sering menjadi punca utama masalah
kewangan yang semakin meruncing dalam kalangan remaja. Hal tersebut
membawa kepada bebanan hutang pada usia muda akibat berbelanja secara
berlebihan.
Perbelanjaan terbesar yang perlu dilunaskan Syafil setiap bulan ialah
sewa rumah. Bayaran tersebut hampir separuh daripada gaji pokoknya.
Walaupun berdepan dengan kadar sewa yang tinggi, dia terpaksa akur
dengan pilihan itu memandangkan jarak rumah dan tempat kerjanya dekat
berbanding rumah sewa lain.
“Selain itu, tanggungan bulanan juga merangkumi bil internet, telefon, kelab gimnasium dan perbelanjaan makan minum,” jelasnya.
Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan dan
Sumber Pengguna (CRRC) mengenai perilaku dan tabiat kewangan golongan
pekerja muda, 37 peratus daripada kelompok tersebut mengakui mereka
berbelanja melebihi gaji bulanan.
Tahap pengetahuan yang rendah mengenai pengurusan kewangan menjadi
salah satu punca kepada kemelut bebanan hutang golongan tersebut. Kajian
CRRC membuktikan 47 peratus daripada mereka dibebani hutang serius.
BANYAK faktor perlu diambil kira oleh golongan muda yang baru bekerja sebelum membeli kereta.– Gambar hiasan
Kos sara hidup yang meningkat saban tahun turut menyumbang kepada
masalah pengurusan wang golongan muda. Mengikut statistik yang
dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (JPM)
pada tahun 2009, pendapatan kasar bulanan isi rumah di kawasan bandar
menjulang naik kepada RM4,705 berbanding RM3,357 pada tahun 1999.
Hal ini memberi gambaran bebanan dan tanggungan perlu dihadapi oleh
golongan muda terutamanya graduan yang baru memasuki alam pekerjaan.
Urus kewangan
Adakah cara hidup generasi ini perlu disalahkan sepenuhnya atau perlu mengambil kira kos sara hidup yang semakin meningkat?
Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia,
Prof. Dr. Mohd Fauzi Mohd Jani, berkata, golongan muda perlu mengukur
baju di badan sendiri ketika berbelanja dan menguruskan kewangan.
“Tidak dinafikan kos sara hidup yang tinggi mempengaruhi perbelanjaan
bulanan seseorang. Ia ditambah dengan gaya hidup yang tidak selari
dengan pendapatan.
“Namun begitu, ia berbalik kepada individu itu sendiri. Mereka
seharusnya mengetahui cara pengurusan wang dengan bijak. Langkah yang
salah dalam perkara ini menjerumuskan ramai golongan muda dalam
perangkap muflis,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo!.
Tambah Mohd. Fauzi, salah satu punca utama berlakunya muflis dalam
kalangan golongan muda adalah disebabkan penggunaan kad kredit tanpa
had. Kebanyakan kes yang berlaku disebabkan kegagalan membayar balik
hutang kad kredit yang tinggi dan di luar kemampuan mereka.
Mengikut statistik yang dikeluarkan Jabatan Insolvensi Malaysia
(MdI), jumlah pemuda berusia 34 tahun ke bawah yang muflis meningkat
setiap tahun. Sebanyak 47 peratus daripada jumlah keseluruhan 4,568 kes
baharu direkodkan sehingga suku tahun lalu.
“Namun demikian, kita perlu mengkaji punca mereka menggunakan kad
kredit. Ini kerana ada yang membuat kad kredit untuk melangsaikan
bayaran perniagaan mereka sehingga menjadi muflis.
“Perkara ini perlu diambil kira dan pada masa yang sama, beberapa
inisiatif harus dilakukan bagi membantu remaja yang muflis disebabkan
masalah pengurusan wang dalam perniagaan,” jelas Mohd. Fauzi.
Perancangan kewangan yang lemah dan kurangnya pengetahuan mengenai
pengurusan wang menjadi faktor utama masalah hutang. Situasi ini
menyumbang kepada masalah muflis yang semakin meningkat saban tahun.
Seramai 9,471 orang telah diisytiharkan muflis sehingga suku ketiga tahun 2012 mengikut statistik MdI.
Sejumlah 6,203 daripadanya diisytiharkan sebagai muflis akibat
kegagalan menjelaskan hutang kad kredit. Ia menjadi kebimbangan kerana
turut membelenggu sebilangan belia yang mempunyai tanggungan kad kredit
dalam usia yang masih muda.
SYAFIL (kiri) mengakui dirinya terjerat dengan kos perbelanjaan bulanan yang tinggi.
“Hutang yang semakin meningkat saban tahun memaksa saya mencari
solusi masalah kewangan ini,” ujar pekerja sektor awam, Saida Akmar, 25,
yang mula menggunakan kad kredit sejak tahun 2011.
“Walaupun sudah mengehadkan perbelanjaan sebanyak RM5,000 untuk
sebulan, penggunaan kad kredit membuatkan Saida terleka ketika
membeli-belah.
“Tidak dinafikan, semua yang berlaku kerana kesalahan sendiri yang tidak dapat menahan diri ketika berbelanja,” keluh Saida.
Bahang kos sara hidup tinggi turut dialami oleh Nurliza Barhan, 25,
yang berhijrah ke ibu kota untuk mencari peluang pekerjaan yang setaraf
dengan bidang pengajiannya.
Bagi gadis kelahiran Miri, Sarawak itu, penyelarasan gaji bagi
pemegang ijazah boleh mengurangkan masalah kewangan yang berlaku kepada
golongan muda seperti dirinya.
“Apa yang saya lihat sekarang, gaji bagi lepasan ijazah tidak selaras
di sektor awam atau swasta. Penyelarasan perlu dipertimbangkan
memandangkan peningkatan kadar perbelanjaan saban tahun,” ujar Nurliza
ketika ditemui di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Penyelarasan
Mengulas isu tersebut, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali
Hamsa berkata, kerajaan sedang mengkaji untuk menyelaraskan tangga gaji
penjawat awam berkelulusan ijazah yang kini berada di bawah gred 41.
“Perbincangan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang
dijalankan kerana keperluan untuk mencapai status negara maju dan
berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020,” ujarnya.
Dilema yang membelenggu diri akibat bebanan hutang perlu diatasi
secepat mungkin. Antara langkah yang yang boleh dimulakan adalah dengan
mengikuti
proram-program motivasi dan kewangan seperti yang diadakan oleh
Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melalui Program
Pengurusan Kredit.
“Sehingga Disember 2012, lebih daripada 207,997 orang telah
mendapatkan khidmat kaunseling di AKPK. Pada masa sama, 85,994 orang
daripada jumlah tersebut telah dibantu melalui Program Pengurusan
Kredit,” ujar Pengurus Bahagian Pendidikan Kewangan AKPK, Nor Akmar
Yaakub, ketika ditemui di pejabat urusan AKPK.
Program yang dijalankan bertujuan untuk memupuk tabiat meminjam
secara bijak sekali gus menggalakkan budaya pembayaran semula peminjam
secara konsisten. Mengikut statistik AKPK, seramai 2,039 belia telah
mengikuti program tersebut
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0218&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2LIj6L5Xr
Broken Link or Any Request >> Tell Us
Join File using HJSplit.. More Information >> Click Here
.
0 comments:
Post a Comment