Monday, February 25, 2013

Pakatan Rakyat lancar manifesto ‘Pakatan Harapan Rakyat’ – apa yang menarik mengenai isu-isu berkaitan automotif?

Menjelang ketibaan Pilihanraya Umum kali ke-13 (PRU13) yang akan diadakan tidak lama lagi, Pakatan Rakyat hari ini melancarkan manifesto yang bertajuk ‘Pakatan Harapan Rakyat’ dalam usaha mereka untuk menarik perhatian pengundi-pengundi di seluruh negara.
Saya tidak bercadang untuk membincangkan secara keseluruhan mengenai manifesto yang dilancarkan itu, kecuali beberapa perkara yang menyentuh mengenai isu-isu berkaitan dunia automotif di negara kita, juga mengenai apa yang ditawarkan oleh Pakatan Rakyat bagi mengurangkan beban kita semua sebagai pemandu kenderaan.
Antara yang disebutkan ialah penurunan harga minyak petrol dan diesel. Kandungan di dalam manifesto menyebut;
HARGA PETROL DAN DIESEL AKAN DITURUNKAN
Harga minyak mentah yang tinggi sehingga mencecah purata RM300 setong melonjakkan pendapatan negara dari hasil minyak.
Pakatan Rakyat percaya laba dari pendapatan minyak ini wajar dikongsi dengan rakyat untuk mengurangkan bebanan.
Oleh itu, Pakatan Rakyat akan menyalurkan laba dari pendapatan minyak ini untuk menurunkan harga petrol dan diesel.
Ini pula merupakan perkara kedua yang tidak kurang pentingnya kepada kita semua;
KERAJAAN AKAN AMBIL ALIH LEBUHRAYA SECARA BERPERINGKAT BAGI TUJUAN MENGHAPUSKAN TOL
Seperti yang dijanjikan di dalam Buku Jingga, Pakatan Rakyat akan mengambil alih lebuhraya secara berperingkat bagi tujuan menghapuskan tol.
Pembiayaan operasi lebuhraya mampu ditampung menggunakan dana RM5 bilion yang selama ini dibayar sebagai pampasan kepada pemegang konsesi.
Penghapusan tol akan membantu menurunkan harga barang.
Dan ini pula merupakan antara perkara luar biasa yang dijanjikan. Ramai yang skeptikal sebenarnya, namun sebagai peminat dunia automotif tegar, saya sangat mengalu-alukan jika perkara sepenting ini menjadi kenyataan;
MEROMBAK DASAR AUTOMOTIF UNTUK MENGURANGKAN BEBANAN RAKYAT
Harga kereta di Malaysia berbanding pendapatan purata isi rumah rakyatnya boleh disifatkan antara tertinggi di dunia. Ketiadaan kemudahan pengangkutan awam yang berkesan menyebabkan rakyat tidak ada pilihan lain kecuali membeli kereta persendirian.
Akibatnya, hutang kereta menjadi bebanan kewangan utama yang ditanggung setiap keluarga. Setiap bulan, sejumlah besar pendapatan dihabiskan untuk membayar hutang kereta. 
Untuk mengurangkan bebanan rakyat dan meningkatkan pendapatan bolehguna rakyat, Pakatan Rakyat akan merombak dasar automotif seperti berikut:
Menghapuskan cukai eksais:
Cukai eksais kereta yang dikenakan secara melampau iaitu pada kadar 70% ke atas melonjakkan harga kereta.
Cukai eksais kereta akan diturunkan secara berperingkat dengan tujuan menghapuskannya dalam tempoh 5 tahun agar harga kereta lebih berdaya saing.
Harga kenderaan serendah RM25,000:
Liberalisasi industri automotif negara untuk memastikan daya saing dan nilai tambah kepada rakyat.
Pakatan Rakyat percaya industri automotif negara yang benar-benar berdaya saing boleh mengeluarkan kereta pada harga serendah RM25,000 sebuah.
Selain itu, isu panas mengenai saman AES turut disentuh;
HAPUS AES, BATAL SAMAN AES
Pakatan Rakyat akan menghentikan serta merta konsesi dan pelaksanaan AES yang mempertaruhkan keselamatan rakyat di jalan raya sebagai sumber kekayaan kroni. Sebarang saman yang telah dikeluarkan sebelum ini akan dibatalkan.
Langkah keselamatan jalan raya akan menitikberatkan infrastruktur jalan yang lebih selamat, pendekatan pendidikan dan amaran, bukannya pendekatan menghukum seperti sedia ada.
Walaupun sekadar manifesto pilihanraya, apa yang ditawarkan oleh Pakatan Rakyat kali ini kelihatan begitu relevan dengan keperluan rakyat Malaysia sebagai pemandu dan pemilik kenderaan.
Pada pendapat saya yang tidak berpihak kepada kedua-dua belah pihak sama ada Pakatan Rakyat atau pun Barisan Nasional ini, harapan saya untuk melihat harga kereta diturunkan seperti mana yang dinikmati oleh negara-negara luar lain sangatlah tinggi.
Tidak perlulah lagi kita membeli sesebuah kenderaan pada harga yang tinggi sedangkan spesifikasi yang ditawarkan tidaklah sehebat mana. Adakah selepas berlangsungnya PRU13 nanti impian saya itu akan menjadi kenyataan?
Apa pula pendapat anda mengenai manifesto Pakatan Rakyat yang dibincangkan di sini? Jangan segan-segan untuk memberikan sebarang komen tidak kira sama ada anda penyokong Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional. Ini negara demokrasi, sesiapa pun boleh memberikan pandangan mengenai sesuatu isu.

sumber dari :- http://www.arenakereta.com/2013/02/25/pakatan-rakyat-lancar-manifesto-pakatan-harapan-rakyat-apa-yang-menarik-mengenai-isu-isu-berkaitan-automotif/


Broken Link or Any Request >> Tell Us

Join File using HJSplit.. More Information >> Click Here

.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon More